Asal usul Magavau Tadau_Kaamatan

Bobohizan mengetuai mangavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazan Dusun. Walau bagaimanapun ia tetap membawa maksud yang sama.

Menurut cerita lisan, Kinorohingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dikorbankan dan mayatnya disemadi menurut istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambarayon".

Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum itu mengenai asal-usul serta pencipta mereka - Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya - Humindoun untuk menyelamatkan mereka daripada mati kebuluran.